8 Disember 2011

Hasil Nukilan Anak Didikku

Cerita untuk Pertandingan Menulis Cerita Sempena Hari Guru 2011

Terima Kasih Cikgu

Saya adalah seorang pelajar yang terpilih sebagai pemain “keyboard” di sekolah saya. Pada mulanya saya tidak tahu untuk bermain alat muzik tersebut dan tangan saya sedikit mengeletar untuk menekan alat muzik itu.

Saya mula mempelajari kedudukan “not-not” bermain keyboard. Pada mulanya saya merasa amat sukar untuk memahami dan mempelajari kedudukan “not-not” tersebut. Saya mula merasa bosan dan patah semangat. Saya bertekad dan berazam, walaupun banyak rintangan, onak dan duri yang mendatang, semua itu tidak sedikit pun mematahkan semangat saya. Hari demi hari, langkah demi langkah telah saya pelajari . Walaupun ianya sukar, tetapi sedikitpun tidak mematahkan semangat saya Setiap hari saya mempelajari sesuatu yang baru. Semua ini adalah hasil bimbingan cikgu yang saya hormati, iaitu Cikgu Salleh.

Setelah hampir satu tahun Cikgu Salleh membimbing saya dan rakan-rakan akhirnya tibalah saat yang dinantikan. Saya dan rakan-rakan ditugaskan untuk membuat persembahan sempena Hari Guru. Lagu yang bakal dimainkan telah dicipta khas oleh Cikgu Salleh yang bertajuk “Selamat Bersara Cikgu”. Saya berasa sedikit gemuruh tetapi apabila terkenangkan kata-kata semangat dari Cikgu Salleh saya mula merasa yakin dan percaya atas kemampuan diri saya.

Setelah tamat membuat persembahan, Puan Guru Besar telah mengumumkan bahawa hari ini adalah hari terakhir Cikgu Salleh mengajar kerana telah genap tarikh persaraannya. Saya dan rakan-rakan merasa amat terkejut dan sebak kerana kami akan kehilangan seorang guru yang berpengalaman dalam bidang muzik.

Kami masih lagi teringat lagi bait-bait rangkap lagu ciptaannya.

Bertahun kau berkorban
Curahkan bakti murnimu
Demi nusa dan bangsa
Tanpa rasa jemu

Kau gigih menjana ilmu
Walau ada dimana
Tunjuk ajar diberi
Jadi panduan kami

Kau kandil kau pelita
Kan pergi tinggalkan kami
Jasamu tetap dikenang
Selamat bersara cikgu

Kami sayang cikgu
Semoga jumpa lagi

Cikgu terima kasih atas jasamu. Bakti yang dicurahkan tidak ada tolok bandingnya. Ibarat lilin membakar diri demi mendidik anak bangsa.
(280 perkataan )

Dicipta oleh :
NUR IRDINA BT. ROSMANIRZAM

26 November 2011

SAJAK ( WASIAT BUAT ANAK-ANAKKU)


WASIAT BUAT ANAK-ANAKKU

Anak-anakku….
Moga kalian sudi mendengar luahan hati ini,
Daripada seorang gurumu,
Yang terlalu kepingin,
Melihat dirimu,
Bersinar dalam dunia kecemerlangan,
Bahagia dalam alam kehidupan.

Anak-anakku….
Apa lagi yang mampu aku berikan?…..
Buat kalian,
Hanya kalimah ilmu dan kata nasihat,
Yang mungkin kalian anggap,
Satu bebanan,
Satu penyiksaan,
Satu penderaan.

Tapi,
Jauh di sudut hati ini,
Bukan itu hakikatnya,
Di nurani ini,
Tersemat satu tanggungjawab,
Di benak ini,
Tertanam satu cita-cita,
Ingin melihat kalian,
Berjaya ke puncak menara,
Kerna di sana,
Ada gading yang tinggi nilainya,
Biarpun diri ini terguris,
Dengan masyarakat yang selalu menuding jari,
Tanpa kami sempat membela diri.

Anak-anakku…….
Lontarkan sikap malasmu,
Humbankan rasa putus asa dan mudah kecewa,
Daripada diri kalian.
Kerna,
Semua itu adalah ramuan kegagalan.

Sebatikanlah dalam dirimu,
Rajin dan kuat berusaha,
Tekun dan patuh, Taat kepada yang Esa,
Inilah resipi kejayaan.

Anak-anakku…
Biarlah kami hilang dalam ingatan kalian,
Dengan kejayaan mu,
Tapi,
Jangan kalian ingati kami dengan kegagalanmu,
Kerna wasiat ini telah dibaca.

18 November 2011

Keputusan UPSR 2011

Tahniah dan syabas kepada 4 orang daripada 17 orang pelajar SK Lembah Beringin yang berjaya mendapat  5A dalam UPSR 2011. Sebagai guru Bahasa Melayu saya juga berbangga kerana kesemua pelajar SK Lembah Beringin mendapat gred A dalam Bahasa Melayu Penulisan. Keputusan terbaik semenjak 6 tahun di Lembah Beringin. Untuk Bahasa Melayu Pemahaman 13 orang mendapat gred A dan 4 orang gred B. Martabatkan Bahasa Kebangsaan kita.


Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kurikulum, Haziq b. Kamarozaman.



Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan 2011, Muhammad Ina`mul Akram b. Khairullah.

13 November 2011

Penggunaan kata sendi dari dan daripada.

Rancangan ini memberikan panduan dan petua menggunakan kata sendi dari dan daripada dengan tepat: * Rancangan ini memberikan panduan dan petua menggunakan kata sendi dari dan daripada dengan betul.Dari digunakan untuk ATM (Arah, Tempat, Masa).Daripada pula digunakan untuk KABOS (keanggotaan, Abstrak, Bandingan, Orang, Sumber. Rancangan ini juga memaparkan kesilapan penggunaan dari dan daripada dalam pertuturan dan penulisan. Lagu Dari dan Daripada disertakan sebagai pengukuhan untuk memudahkan penonton memahami danmengingati penggunaan kata sendi dari dan daripada yang betul. Dari Laman Web=http://eduwebtv.com/v2/video/?id=1225620083645433

Mengenali pelbagai jenis haiwan

Mengenali pelbagai jenis haiwan: * Mengenali pelbagai jenis haiwan semasa lawatan rakan-rakan pelajar ke Zoo Negara. Dari Laman Web=http://eduwebtv.com/v2/video/?id=1225620837202747

8 November 2011

Sajak " Guru Oh Guru"

Guru Oh Guru...


Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.



GURU OH GURU


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


*Nukilan SN Dato Usman Awang*