8 Disember 2011

Hasil Nukilan Anak Didikku

Cerita untuk Pertandingan Menulis Cerita Sempena Hari Guru 2011

Terima Kasih Cikgu

Saya adalah seorang pelajar yang terpilih sebagai pemain “keyboard” di sekolah saya. Pada mulanya saya tidak tahu untuk bermain alat muzik tersebut dan tangan saya sedikit mengeletar untuk menekan alat muzik itu.

Saya mula mempelajari kedudukan “not-not” bermain keyboard. Pada mulanya saya merasa amat sukar untuk memahami dan mempelajari kedudukan “not-not” tersebut. Saya mula merasa bosan dan patah semangat. Saya bertekad dan berazam, walaupun banyak rintangan, onak dan duri yang mendatang, semua itu tidak sedikit pun mematahkan semangat saya. Hari demi hari, langkah demi langkah telah saya pelajari . Walaupun ianya sukar, tetapi sedikitpun tidak mematahkan semangat saya Setiap hari saya mempelajari sesuatu yang baru. Semua ini adalah hasil bimbingan cikgu yang saya hormati, iaitu Cikgu Salleh.

Setelah hampir satu tahun Cikgu Salleh membimbing saya dan rakan-rakan akhirnya tibalah saat yang dinantikan. Saya dan rakan-rakan ditugaskan untuk membuat persembahan sempena Hari Guru. Lagu yang bakal dimainkan telah dicipta khas oleh Cikgu Salleh yang bertajuk “Selamat Bersara Cikgu”. Saya berasa sedikit gemuruh tetapi apabila terkenangkan kata-kata semangat dari Cikgu Salleh saya mula merasa yakin dan percaya atas kemampuan diri saya.

Setelah tamat membuat persembahan, Puan Guru Besar telah mengumumkan bahawa hari ini adalah hari terakhir Cikgu Salleh mengajar kerana telah genap tarikh persaraannya. Saya dan rakan-rakan merasa amat terkejut dan sebak kerana kami akan kehilangan seorang guru yang berpengalaman dalam bidang muzik.

Kami masih lagi teringat lagi bait-bait rangkap lagu ciptaannya.

Bertahun kau berkorban
Curahkan bakti murnimu
Demi nusa dan bangsa
Tanpa rasa jemu

Kau gigih menjana ilmu
Walau ada dimana
Tunjuk ajar diberi
Jadi panduan kami

Kau kandil kau pelita
Kan pergi tinggalkan kami
Jasamu tetap dikenang
Selamat bersara cikgu

Kami sayang cikgu
Semoga jumpa lagi

Cikgu terima kasih atas jasamu. Bakti yang dicurahkan tidak ada tolok bandingnya. Ibarat lilin membakar diri demi mendidik anak bangsa.
(280 perkataan )

Dicipta oleh :
NUR IRDINA BT. ROSMANIRZAM

26 November 2011

SAJAK ( WASIAT BUAT ANAK-ANAKKU)


WASIAT BUAT ANAK-ANAKKU

Anak-anakku….
Moga kalian sudi mendengar luahan hati ini,
Daripada seorang gurumu,
Yang terlalu kepingin,
Melihat dirimu,
Bersinar dalam dunia kecemerlangan,
Bahagia dalam alam kehidupan.

Anak-anakku….
Apa lagi yang mampu aku berikan?…..
Buat kalian,
Hanya kalimah ilmu dan kata nasihat,
Yang mungkin kalian anggap,
Satu bebanan,
Satu penyiksaan,
Satu penderaan.

Tapi,
Jauh di sudut hati ini,
Bukan itu hakikatnya,
Di nurani ini,
Tersemat satu tanggungjawab,
Di benak ini,
Tertanam satu cita-cita,
Ingin melihat kalian,
Berjaya ke puncak menara,
Kerna di sana,
Ada gading yang tinggi nilainya,
Biarpun diri ini terguris,
Dengan masyarakat yang selalu menuding jari,
Tanpa kami sempat membela diri.

Anak-anakku…….
Lontarkan sikap malasmu,
Humbankan rasa putus asa dan mudah kecewa,
Daripada diri kalian.
Kerna,
Semua itu adalah ramuan kegagalan.

Sebatikanlah dalam dirimu,
Rajin dan kuat berusaha,
Tekun dan patuh, Taat kepada yang Esa,
Inilah resipi kejayaan.

Anak-anakku…
Biarlah kami hilang dalam ingatan kalian,
Dengan kejayaan mu,
Tapi,
Jangan kalian ingati kami dengan kegagalanmu,
Kerna wasiat ini telah dibaca.

18 November 2011

Keputusan UPSR 2011

Tahniah dan syabas kepada 4 orang daripada 17 orang pelajar SK Lembah Beringin yang berjaya mendapat  5A dalam UPSR 2011. Sebagai guru Bahasa Melayu saya juga berbangga kerana kesemua pelajar SK Lembah Beringin mendapat gred A dalam Bahasa Melayu Penulisan. Keputusan terbaik semenjak 6 tahun di Lembah Beringin. Untuk Bahasa Melayu Pemahaman 13 orang mendapat gred A dan 4 orang gred B. Martabatkan Bahasa Kebangsaan kita.


Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Kurikulum, Haziq b. Kamarozaman.



Penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan 2011, Muhammad Ina`mul Akram b. Khairullah.

13 November 2011

Penggunaan kata sendi dari dan daripada.

Rancangan ini memberikan panduan dan petua menggunakan kata sendi dari dan daripada dengan tepat: * Rancangan ini memberikan panduan dan petua menggunakan kata sendi dari dan daripada dengan betul.Dari digunakan untuk ATM (Arah, Tempat, Masa).Daripada pula digunakan untuk KABOS (keanggotaan, Abstrak, Bandingan, Orang, Sumber. Rancangan ini juga memaparkan kesilapan penggunaan dari dan daripada dalam pertuturan dan penulisan. Lagu Dari dan Daripada disertakan sebagai pengukuhan untuk memudahkan penonton memahami danmengingati penggunaan kata sendi dari dan daripada yang betul. Dari Laman Web=http://eduwebtv.com/v2/video/?id=1225620083645433

Mengenali pelbagai jenis haiwan

Mengenali pelbagai jenis haiwan: * Mengenali pelbagai jenis haiwan semasa lawatan rakan-rakan pelajar ke Zoo Negara. Dari Laman Web=http://eduwebtv.com/v2/video/?id=1225620837202747

8 November 2011

Sajak " Guru Oh Guru"

Guru Oh Guru...


Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.



GURU OH GURU


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.


Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.


Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


*Nukilan SN Dato Usman Awang*

30 Oktober 2011

Permainan Bahasa ( Susun Perkataan )

Layari laman ini untuk memulakan permainan menyusun perkataan. Selamat berjaya.

http://www.adap.com.my/infoMedia.php?id=37


Sumber Portal Pendidikan Utusan.

Latihan Ulangkaji UPSR

Sumber Portal Utusan

 Ingin mantapkan penguasaan Bahasa Melayu layari  http://www.adap.com.my/infoMedia.php?id=582 untuk menjawab latihan-latihan. Semoga berjaya dalam peperiksaan UPSR.

http://www.adap.com.my/infoMedia.php?id=582

Latihan Dialog


Baca dialog di bawah dan jawab latihan yang diberi.


Ranjit              : Selamat pagi, Encik Raja. Saya murid Sekolah Kebangsaan Lembah
Beringin. Saya ingin mendapatkan maklumat tentang kadar sewa bas  
yang pihak encik kenakan bagi perjalanan ke utara.

Pengusaha bas : Kadar sewa yang dikenakan sebanyak RM200 untuk perjalanan sekitar
  Bandar dan RM800 untuk ke negeri lain.

Ranjit              : Bolehkah pihak encik kurangkan kadar sewa tersebut mengikut harga
   tambang kanak-kanak? Kami dari dari sekolah rendah encik.

Pengusaha bas : Kadar sewa yang kami kenakan adalah standard, iaitu tanpa mengira  
                          umur penumpang.

Ranjit              : Kalau begitu, bagaimanakah cara bayarannya?

Pengusaha bas : Kamu boleh membuat bayaran secara tunai sebelum memulakan
  perjalanan.

Ranjit              : Adakah wang cagaran diperlukan, encik?

Pengusaha bas : Kamu tidak perlu membayar wang cagaran. Bayarlah secara tunai pada
  hari kamu akan bertolak.

Ranjit              : Baiklah, terima kasih Encik Raja. Saya akan hubungi encik bagi
  menentukan tarikh kami memerlukan perkhidmatan tersebut.

Pengusaha bas : Sama-sama. Kami sentiasa bersedia untuk dihubungi.


Latihan.


1. Garisi frasa kata yang menunjukkan permintaan untuk mendapatkan penjelasan dalam dialog
    di atas.

2. Buat satu peta minda yang menunjukkan isi utama dan isi sampingan berdasarkan dialog di
    atas.

3. Tulis dialog antara kamu dan seorang guru untuk mendapatkan penjelasan tentang cara 
    membuat sebuah buku skrap untuk satu mata pelajaran.

Cerita


BATU BELAH BATU BERTANGKUP


            Di sebuah kampung tinggal Mak Tanjung bersama dengan dua orang anaknya iaitu Melur dan Pekan. Mereka tinggal di kaki Gunung Berapit. Sejak suami Mak Tanjung meninggal dunia, dia menjadi seorang yang pendiam dan asyik bersedih. Kerjanya mencari akar kayu untuk dibuat ubat juga diabaikan.
            Pada suatu hari Mak Tanjung teringin benar untuk makan telur ikan  tembakul,

“Melur, Ibu hendak pergi kesungai untuk menangguk ikan, jika ada rezeki, kita akan makan telur ikan tembakul hari ini. Kamu duduk dirumah sahaja dan jangan pergi kemana-mana” Kata Mak Tanjung kepada anaknya Melur.

“Baiklah Ibu”

Mak Tanjung pun pergi kesungai menangguk ikan. Sudah lebih 1 jam dia menangguk ikan, tetapi masih tidak mendapat apa-apa hasil

“Aduh, laparnya perut aku, hari telah hampir petang tetapi seekor ikan pun tidak aku temui” Mak Tanjung berbicara sendirian…

Tiba-tiba………….

“Wah, besarnya ikan tembakul ini….. eemmm……mesti besar juga telurnya , puaslah aku makan nanti”… bicara Mak Tanjung dengan gembiranya apabila telah berjaya menangguk seekor ikan tembakul yang besar.

Mak Tanjung pun pulang kerumah dengan perasaan yang sangat gembira..

Tiba dirumah, Mak Tanjung menjerit memanggil anaknya……….

“Melur….. Melur…… manalah budak ni, Melur…Melur…..” jerit Mak Tanjung

“Ya…. Ya….. Melur datang Ibu” Sahut Melur sambil berlari-lari kearah ibunya

“Melur, masaklah ikan tembakul ini dan masaklah juga telurnya sekali, Ibu ingin makan telurnya” kata Mak Tanjung.

“Baiklah ibu” kata Melur

Mak Tanjung pun terus ke sungai untuk mandi..

Selepas siap memasak gulai itu. Melur pun mengasingkan semangkuk untuk ibunya dan semangkuk lagi untuk dia dan adiknya Pekan.

“Pekan mari kita makan” Melur pun memanggil adiknya.

Pekan makan dengan gelojoh sekali Apabila habis dia meminta lagi..
‘Kakak, Pekan nak makan telrt tembakul lagi….” Minta pekan

“Tak boleh, telur yang atas para itu untuk ibu”.. nanti akak gorengkan telur ayam ye?.” Pujuk Melur.

“Pekan tak mahu… pekan tak mahu.. pekan nak telur tembakul juga Pekan tak mahu telur ayam”… rayu Pekan kepada kakaknya sambil menangis..

Kerana tidak sanggup melihat adiknya menangis, Melur pun memberikan sedikit telur tersebut kepada adiknya… Apabila habis dimintanya lagi…..

Tidak lama kemudian Mak Tanjung pun pulang, Dia mahu makan. Pekan pun menghidangkan ikan tembakul sahaja..

“Mana Telur tembakul”Tanya ibunya

“Sudah habis Ibu, Pekan dah makan semuanya” jawab Melur perlahan.

“Sampai hati kamu tidak meninggalkan sedikit pun untuk Ibu”kata Mak Tanjung kecil hati.

Sedih benar hatinya kerana anak-anaknya terlupa kepadanya. Mak Tanjung merajuk lalu berkata..

‘Kamu memang tidak menyayangi ibu, jika begitu biarlah ibu pergi ke batu belah batu bertangkup” kata Mak Tanjung sambil berlari masuk ke dalam hutan.

Di dalam hutan itu ada batu belah yang berpuaka. Jika batu itu lapar ia akan terbelah dan bila sudah dapat mangsa ia akan tertangkup” Apabila Mak Tanjung, berkata dia akan pergi ke batu belah, batu itu pun mangaummmm dengan kuatnya..

“aummmmmmmmmmmmmmmmmmmmmm”

Mak Tanjung berlari dengan lajunya kearah batu belah itu. Melur dan Pekan pun mengejar dari belakang sambil memanggil ibunya..

“Ibu….Ibu….. maafkan kami…. Ibu… Ibu… jangan tinggalkan kami…Ibu.. Ibu….”jerit Melur dan Pekan Sambil menangis..

Mak Tanjung tidak menghiraukan jeritan anak-anaknya… dia terus juga berlari menuju kearah batu berpuaka itu..

Batu berpuaka itu semakin kuat ngaumanya,, ‘aummmmmmmmmmm’ semakin dekat Mak Tanjung semakin kuat ngaumannya..’aummmmmmmmmmmmm”

Ketika mengejar Mak Tanjung, Adik Melur, Pekan inginkan susu,,,….

“Kak, Pekan lapar susu Ibu kakak, Pekan lapar susu ibu kakak” kata pekan sambil menangis.

Melur pun memanggil ibunya,

“ Ibu…. Ibu…tunggu Pekan lapar susu…. Ibu.. Ibu Pekan lapar susu tunggu….”  Jerit Melur memanggil ibunya….

Mak Tanjung terdengar jeritan Melur, dia pun memerah susu di dalam daun keladi… sambil berkata..

“Selamat tinggal anak-anak ku ini lah susu terakhir dari ibu”

Setelah selesai Mak Tanjung pun terus berlari sambil menyanyi…

“Batu belah….batu bertangkup makanlah aku telanlah aku.. aku kempunan telur tembakul…”

Pada masa yang sama juga batu itu terus mengaum dengan kuat sekali..

“Aummmmmmmm” aummmmmmmmmmmm….. aummmmmmmmmm.

Di Pertengahan jalan Melur berjumpa dengan susu yang diperah oleh ibunya dan memberikan kepada Pekan… setelah abis susu tersebut diminum oleh pekan. Mereka berdua terus mengejar ibu mereka sambil menjerit…

‘Ibu…. Jangan tinggal kan kami,,, kami mahu ibu pulang”

Ummmmmmmmmmmmm.. ummmmmmmmmmmmmmmmmm.. Batu belah bersuara

Pada waktu yang sama Mak Tanjung telah tiba di batu belah tersebut….

Namun begitu Melur dan Pekan berlari sekuat hati untuk menghalang ibu mereka. Namun nasib mereka begitu malang, batu belah telah tertangkup dan bayangan ibu mereka juga telah tiada yang ada Cuma rambut ibu mereka sahaja….

Mereka menangis sekuat-kuat hati mereka..

“Ibu….. Ibu…. Ibu…. Sampai hati ibu tinggalkan kami….

Setelah batu belah itu memakan Mak Tanjung, batu belah itu terus tertangkup dan tidak pernah mengaum lagi sehingga kini.

Oleh itu kita hendaklah menyayangi serta mengingati kedua ibu bapa kita, bak kata pepatah. “sesal dulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.





Latihan Laporan


Baca laporan di bawah buat latihan yang diberikan.


Laporan Ekspedisi di Puncak Gunung Brinchang


Pada cuti penggal persekolahan yang lalu, Persatuan Pengakap Sekolah Kebangsaan Seri Kasih telah mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Brinchang, di Cameron Highlands. Sebanyak 30 orang anggota pengakap menyertai ekspedisi tersebut. Ekspedisi tersebut bertujuan untuk menambahkan pengalaman murid di samping memupuk nilai cinta akan alam sekitar.

Apabila tiba di destinasi, kami menurunkan barang-barang dari bas. Kemudian, kami dibawa ke Gunung Brinchang. Suasana di tempat itu sungguh sejuk. Tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ juga agak berbeza dengan tumbuhan yang terdapat di tempat kami. Kami diberi penerangan oleh guru tentang sejarah tempat itu.

Selepas itu kami diberi taklimat tentang ekspedisi tersebut. Para peserta diarahkan berkumpul di stesen yang pertama. Di situ peserta ekspedisi diberikan taklimat tentang aktiviti yang akan dijalankan. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Aktiviti pertama ialah pertandingan mencari harta karun. Aktiviti tersebut sungguh menyeronokkan dan mencabar kemampuan kami. Pasukan Helang telah memenangi pertandingan tersebut.

Kemudian, kami beredar ke stesen kedua. Di situ kami diberitahu bahawa aktiviti mendaki Gunung Brinchang akan diadakan. Saya rasa aktiviti kali ini lebih mencabar walaupun jalan menuju ke puncak agak mudah. Namun, para peserta perlu memiliki daya tahan serta stamina yang tinggi. Kami kuatkan semangat untuk melaksanakan aktiviti yang telah dirancang.

Akhirnya, semua peserta tiba juga di puncak. Dalam diam-diam, guru mencatatkan nama peserta yang paling cepat tiba di puncak. Ketika di puncak gunung tersebut kami berbincang tentang aktiviti seterusnya yang akan kami lakukan. Akhirnya kami diarahkan bergerak dalam kumpulan. Kami diminta meneroka kawasan puncak gunung tersebut sambil menyenaraikan seberapa banyak flora dan fauna yang kami temukan. Kami melakukan aktiviti tersebut dengan gembira.

Setelah melakukan pelbagai aktiviti, para perserta dikumpulkan semula untuk melaksanakan acara penyampaian hadiah. Walaupun tidak mendapat apa-apa hadiah, saya tetap gembira kerana itulah pengalaman pertama saya dibawa mendaki gunung. Selepas itu, kami bertolak pulang dengan membawa seribu kenangan yang tidak mungkin kami lupakan.


Laporan disediakan oleh,                                                                  11 Ogos 2010


…………………....
(Mamat bin Bakar)              
Setiausaha Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Seri Kasih.


Latihan.

  1. Kamu telah mengikuti satu lawatan anjuran kelab/ persatuan sekolah kamu. Tuliskan laporan tersebut.
  2. Sekolah kamu telah mengadakan kem motivasi untuk murid-murid menghadapi UPSR. Sebagai setiausaha kem, tuliskan laporan tentang kem tersebut.