Pidato Memartabatkan Bahasa Melayu
Terima
kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim
yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan
seterusnya hadirin sekalian. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan
selamat sejahtera.
Pada pagi yang mulia ini saya akan
menyampaikan pidato yang bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai
dengan Slogan 1Malaysia, kita juga
harus menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas,
bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa
Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum
di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya
lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain
itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan
sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan
mengikut arus perubahan zaman.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Hadirin yang dihormati sekalian,
Hujah saya yang pertama
adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya
bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut
perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu
peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai
contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila
bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan
bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah
dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada
kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata
pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah
dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa
dan sampai bila-bila.
Hadirin sekalian,
Hadirin sekalian,
Hujah saya yang kedua adalah
melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab
dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa
Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam
kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP
perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau
swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan
bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa
Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa
memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah
pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya
dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu
semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa
lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan
bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Hujah saya yang ketiga ialah
akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut
Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah
diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta
parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan
rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga
perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan
bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan
Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang
meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi
memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak
menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat,
penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini
perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa
tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang
demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.
Hadirin sekalian,
Hadirin sekalian,
Hujah saya yang keempat ialah
memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu
memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa
menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu.
Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap
pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh
pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu
diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak
mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa
Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti
akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi
peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan
memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu
yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya
ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah
dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan
bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan
penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi
bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita
bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus
berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa
Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sekian sahaja pidato saya kali ini,
dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara
yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan